Friday, May 8, 2009

SERAM...Pemancing Diganggu Hantu (Kisah Benar)

Di sini dipaparkan satu kisah benar tentang gangguan makhluk terhadap pengail yang memancing tanpa mengenal waktu. Begitulah yang diceritakan oleh kawan kepada kawan saya. Kalau bohong kawan kepada kawan saya, maka bohonglah saya...

Kisah terjadi di muara sungai Tuaran. Saya sendiri pernah memancing di sini tetapi hasilnya hanyalah seekor belukang. Tetapi menurut kawan kepada kawan saya, sesekali jika air cantik, berbondong-bondong ikan gelama atau ikan putih masuk ke muara dan pengail yang bertuah akan dapat menaikkan berpuluh-puluh ikan yang datang secara bermusim itu. Dan kejadian usikan yang akan saya ceritakan ini berlaku semasa air cantik sehingga ikan yang dipancing sungguh banyak sekali. Saya sengaja tidak mahu mendedahkan identiti pemancing kerana tidak mahu orang yang terlibat merasa malu.

Pemancing A telah bertandang ke muara Tuaran dengan berbekalkan udang hidup dan sedikit ikan basung sebagai umpan. Sejak memulakan pancingan pada jam 4.00 petang, tiada sebarang ikan mencuit umpan buat 2 jam pertama. Apabila hari semakin gelap, sekonyong-konyong satu sambaran yang kuat hampir menarik joran kesayangannya ke dalam sungai. Selepas bertarung hampir 7 minit, ikan putih anggaran 1.5 kilogram dinaikkan. Lontaran kali kedua bersambut dengan kadar segera dan ikan anggaran sebaya dinaikkan, kali ini perlawanan lebih singkat selepas drag diketatkan. Sambaran demi sambaran menyebabkan Pemancing A leka dan selepas umpan habis, jam tepat menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Sekonyong-konyong, semacam bau harum semerbak menusuk hidungnya. Tiba-tiba sahaja bulu romanya berdiri. Cepat sahaja dia mengemas barang-barang dan barulah dia menyedari, dia sedang keseorangan memancing di sebuah muara sungai yang sunyi.

Dalam perjalanan menuju ke motosikal cup, bau harum menjadi semakin kuat. Mulut kumat-kamit membaca sesuatu. Berseorangan memancing di lubuk sunyi bukan menjadi satu perkara asing buat pemancing A. Namun kali ini suasananya cukup berlainan. Bulu roma terus tegak berdiri walaupun dia menguatkan bacaan ayat-ayat suci sebagai penguat semangat. Sebaik engin motor dihidupkan, dia memecut dengan tergesa-gesa meninggalkan muara sungai dengan berbekalkan 10 ekor ikan putih berbagai saiz.

Tiba-tiba...di suatu selekoh, dia terlihat kelibat manusia. "Ahh...bagus juga ada orang...sekurang-kurangnya ada orang yang menemani menghadapi suasana sunyi dan gelap", bisik hatinya. Apabila menghampiri lembaga itu, Pemancing A terpaksa memberhentikan motosikalnya kerana rupa-rupanya seorang gadis yang sangat cantik berbaju putih rambu-ramba telah melambaikan tangan ke arahnya. Bagai terpukau dengan kecantikan gadis itu, mata Pemancing A tidak berkedip langsung. Sayup-sayup sahaja suara gadis itu menerobos gegendang telinganya.."Bang, boleh tumpang bang? Rumah saya tak jauh dari sini, dekat hujung simpang depan tu aje..". Segala-galanya berlaku begitu pantas. Tidak lama selepas itu, Pemancing A membayangkan sedang memboncengkan seorang gadis cantik berbaju putih dengan haruman menawan ke simpang yang dimaksudkan.

Sesampai di simpang yang dimaksudkan oleh gadis itu, yang kebetulan tidak berapa jauh dari tempat gadis itu mula menaiki motosikalnya, Pemancing A memperlahankan motor. Matanya meninjau ke sekeliling simpang dan terpandang batu nesan berceracak berkilat-kilat disinari bulan purnama. Serentak dengan itu, dia menoleh ke belakang dan alangkah terkejutnya dia apabila mendapati tiada sesiapa membonceng di belakang motornya. Bagaikan menghadapi satu trauma maha hebat, dia memecut meninggalkan simpang misteri itu...

Kejadian Pemancing A disakat gadis cantik di simpang kuburan tersebar luas di kalangan kaki pemancing. Muara Sg. Tuaran tidak lagi didatangi pemancing buat satu jangka masa yang lama. Tetapi dua bulan selepas kejadian itu, muncul seorang pemancing yang baru sahaja bertukar ke daerah Tuaran dari semenanjung. Akibat ketagih memancing, tanpa usul periksa, Pemancing B telah memancing di muara berpenunggu itu berseorangan sahaja. Kebetulan pula musim ikan gelama sedang masuk muara. Sejak jam 5.00 petang, tidak menang tangan dia melayan dua batang joran. Semakin menghampiri maghrib, semakin rancak ikan mematuk umpan. Akhirnya Pemancing B kehabisan umpan dan mula meninggalkan muara Tuaran pada jam 12.30 tengah malam.

Kejadian yang dialami oleh Pemancing A berulang semula. Seorang gadis berbaju serba putih dengan wangian semerbak telah melambaikan tangan untuk menumpang motornya. Pemancing B yang tidak pernah mendengar gangguan hantu sebelum ini telah dengan senang hati menumpangkan seorang gadis yang tersangat cantik pada pandangan matanya.

Sesampai di simpang kuburan, Pemancing B memberhentikan motor. Gadis cantik itu memberi sebuah senyuman yang cukup manis. Sambil mengucapkan terima kasih, si gadis berkata... "Abang bagus.. Dulu saya cuba menumpang motor pemancing macam abang...TETAPI,...BELUM SAYA NAIK, SUDAH DIA JALAN!".

1 comment: