Friday, January 30, 2009

KUMPAU

Kumpau !

Apabila hasilan pancingan sesuatu trip pada paras zero atau atas sikit dari sifar maka timbul istilah kumpau – sebutan pemancing Sabah. Biasanya hasil kumpau alias kilar dilihat sebagai kurang bernasib baik, nasib malang atau dalam bahasa kasar sikit dipanggil sial. Bunyi kumpau itu sendiri memberi semacam rasa tidak sedap didengar.

Hairan juga memikirkan nasib pemancing, seluas-luas laut, balik ke jeti tak dapat ikan. Dalam majalah berkaitan ikan, yang kerap dipaparkan ialah trip dengan hasil lumayan. Jarang-jarang penulis ingin memasukkan koleksi trip kumpau kerana para pembaca lebih ghairah menatap hasil pancingan yang mega-mega dan dalam kuantiti yang banyak pula. Barangkali kepuasan membaca artikel trip yang berjaya mampu menjadi pendorong dan pembakar semangat...lain kali nak jadi macam gambar dalam majalah bila diri sendiri pergi memancing.

Bagaimanapun, para pemancing sememangnya tahu trip memancing tidak semestinya menjadi. Trip kumpau pasti dilalui tidak kira sepakar mana seseorang pemancing itu. Sepanjang pembacaan saya terhadap majalah berkaitan ikan, beberapa artikel yang memaparkan trip kumpau telah dipaparkan. Walaupun bilangannya tidak banyak, namun artikel trip sebegini perlu dibaca dengan cara yang kritikal. Lazimnya sesuatu trip kumpau mesti bersangkut paut dengan sesuatu sebab tersendiri.

Saya dan seorang sahabat pernah mengembara dari Keningau ke Kudat sejauh 300 km untuk mengikuti trip memancing laut dalam yang dianjurkan oleh teman yang bermaustautin di Kudat. Sesampai di jeti, tiada seorang pun anggota trip menunggu. Tekong apabila dihubungi dengan selamba memberitahu, “cancel maa...angin barat loo..” Tekong menjelaskan lagi bahawa angin barat sangat ditakuti di Kudat. Sumber internet yang diperolehinya sememangnya tepat. Dah terlanjur berjalan sejauh itu, saya meninjau-ninjau di jeti dan ternampak sebuah bot pancing bersiap sedia untuk bertolak. Tawar menawar berlaku dengan pantas dan selepas beberapa minit, kami bertolak ke laut lepas. Pada masa itu hati saya sangat gembira, maklumlah hajat memancing tercapai. Tergerak hati saya untuk bertanya dengan ketua trip yang kami tumpang tentang peralatan yang ada dalam bot. Jawapannya agak mengejutkan..”apa pun tiada!” Jangkar terpaksa ditarik guna tangan. Tiada sounder untuk mengesan batuan di dasar, tiada kemudahan memasak, tiada ais dan paling penting...tiada life jaket.

Kata pepatah, riak ikan di air, sudah tahu jantan betina. Begitulah bidalan kata orang yang pakar bagi menggambarkan betapa mahirnya mereka dalam sesuatu perkara. Hairan juga mengapa jantina ikan dijadikan sandaran bagi menguji kepakaran? Kalau setakat tahu jenis ikan yang bakal dinaikkan berdasarkan cara ikan menarik umpan, masih boleh diterima juga.. Bagaimanapun, nisbah nak tahu jantan atau betina ikan ialah setengah sahaja sebab jantina hanya ada jantan dan betina. Cansa nak meneka betul atau salah sangat tinggi... maknanya pepatah orang dulu-dulu tentang tahu jantan betina ikan berdasarkan riak ikan di air masih boleh dipertikaikan.

Tekong dengan gah mewar-warkan kebolehannya mengenali takat (kawasan berbatu di laut) dengan berbekalkan pengalaman. Sampai di takat yang dimaksudkan, tekong tengok kiri dan kanan mengagak puncak bukit sebagai panduan. Jangkar diturunkan dan para pemancing berlumba-lumba menurunkan umpan ke dasar. Agak lama menunggu, akhirnya saya berjaya menarik naik pisang-pisang selebar tiga jari. Ombak mula beralun, semakin lama semakin rancak.

Tekong meminta jangkar dinaikkan. Lima pemancing bertungkus lumus menaikkan jangkar besi seberat lebih 30 kg. Pindah sekali lagi tetap menghasilkan hasil yang kumpau juga. Ombak semakin tinggi, hujan mula turun mencurah-curah dan beberapa pemancing mula muntah. Yang lain berpandangan sesama sendiri melihat perubahan cuaca yang sangat mendadak. Akhirnya tekong suruh angkat sauh dan berlindung di sebalik Pulau Bagggi. Tak seekor ikan pun dapat dinaikkan dalam tempoh berlindung itu. Keesokan paginya, percubaan untuk memancing di tengah menerima sahutan ombak yang lebih garang. Kota penyejuk seperti berlumba-lumba bergerak ke kiri dan kanan kapal. Tekong memutuskan untuk kembali ke pengkalan. Seekor pisang-pisang 3 jari kekal menjadi kenangan pancing kumpau yang terburuk dalam sejarah pancingan laut dalam saya.

Sebenarnya faktor cuaca menjadi faktor dominan penentu hasil tangkapan. Untuk memperolehi hasil pancingan yang membanggakan, perlulah rujuk internet dan sumber yang boleh dipercayai. Dapatkan info secukupnya semasa merancang trip. Faktor pasang surut, cuaca dan fasa-fasa bulan memainkan peranan yang boleh mempengaruhi keaktifan ikan memakan umpan.

Kemahiran tekong mencari takat yang sesuai, keupayaannya parking bot dan kerajinannya untuk pindah ke takat baru juga perlu diambil kira.

Sudah menjadi kebiasaan saya untuk berjaga malam sekiranya memancing laut dalam. Walaupun ikan tidak galak makan umpan sewaktu dinihari, namun sesekali umpan dijamah, seringkali boleh tahan saiznya. Sewaktu ramai pemancing melelapkan mata, ruang memancing lebih lapang dan saya akan manfaatkan untuk memasang sehingga 3 pancing sekali gus. Kerapkali saya akan menjadi penanda aras. Kalau saya dah tidur, maknanya tempat bot berlabuh sememangnya tiada ikan!

Serajin-rajin pemancing, sepandai-pandai tekong, sebagus-bagus cuaca, namun rezeki di tanganNya jua. Setelah puas kita berusaha, namun jika hasil tetap kumpau juga itu bermakna kita tiada rezeki pada trip kali ini. Cubalah muhasabah diri, barangkali ada kelemahan di mana-mana yang menuntut kita mengkaji dan mengatasinya. Semakin lama kita berkecimpung dengan dunia pancingan, semakin banyak ilmu yang dapat dipelajari. Semoga dengan ilmu dan nasib, pancingan kita tidak akan kumpau lagi.


Si Pengail 2

1 comment:

  1. Betul tu tok guru...bukan selalu ada rezeki. Umpama laut juga, ada pasang dan ada surutnya.

    ReplyDelete